Pages

Saturday, July 30, 2011

Tip (53) Libatkan diri dalam aktiviti pasangan

Nabi Muhammad pernah bersama-sama Aisyah ketika menonton tarian Ahabisy.

Tip (52) Mengurus rasa pertama dan rasa kedua cinta

Terdapat dua pembahagian cinta yang berlaku dalam diri. Ibn Qayyim berkata cinta itu adalah cinta kepada apa yang diciptakan Allah dan cinta kepada Allah sendiri. Rasa cinta kepada Allah menjadi keutamaan melebihi kecintaan kepada apa yang diciptanya. Secara langsung, rasa cinta pada Allah juga dirasai oleh yang lain. Cinta pada Allah menjadikan kecintaan pasangan secara terus terjalin.

Tip (51) Mengasihi pasangan dan bapanya

Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, disampaikan oleh Al Baihaqi, seorang lelaki bernama Amru bin Ash bertanya kepada Nabi Muhammad selepas tamat perang Dzatul Salasil, siapakah orang yang paling dicintai. Nabi Muhammad menjawabnya Aisyah. Amru bertanya lagi, siapa pulang yang dicintai di kalangan kaum lelaki? Nabi Muhammad membalas, orang yang dicintai di kalangan kaum lelaki adalah ayah kepada Aisyah, iaitu Abu Bakar Siddiq.

Tip (50) Menggunakan milik pasangan dalam sesuatu usaha

Burdah berwarna hitam milik Aisyah pernah digunakan oleh Nabi Muhammad bagi dijadikan bendera peperangan. Peristiwa ini berlaku ketika perang Khaibar. Iaitu peperangan melibatkan kaum Muslimin dan orang-orang Yahudi yang tinggal di Khaibar.

Tip (49) Akrab dengan makan minum pada bekas yang sama

Berlaku peristiwa Nabi Muhammad dan Aisyah minum menggunakan gelas yang sama. Malah, Nabi Muhammad mencari bekas bibir isterinya pada gelas dan minum. Hal yang sama seperti budaya makan bekas yang sama, ia menghampiri apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dan Aisyah.

Tip (48) Meringankan kepayahan dengan pujian

Pernah berlaku peristiwa Nabi Muhammad sedang membaiki sandalnya sehingga kelihatan keringat pada wajahnya. Aisyah melihat Nabi Muhammad tekun membaiki sandal itu, kemudian dia berkata jika dirinya seorang penyair pasti dia berkata keringat itu umpama mutiara di sisi bulan.

Tip (47) Beri kebebasan ibadah kepada pasangan

Aisyah pernah mengalihkan kakinya ketika tidur apabila Nabi Muhammad mendirikan sembahyang dekat dengan tempat tidurnya. Memberi pasangan peluang mendirikan ibadah dilakukan oleh Aisyah kepada Nabi Muhammad. Meskipun Aisyah ingin sekali berdekatan dengan Nabi Muhammad. Ia menunjukkan sikap mengutamakan pasangan berbanding dirinya. Aisyah berkata, “Aku ingin sekali dekat kepadamu, tetapi aku lebih utamakan keinginanmu.”

Tip (46) Minta izin pada pasangan apabila beribadah

Memohon izin bagi melakukan ibadah tidak sahaja memberi kebebasan kita melakukan ibadah, ia juga memberi mesej kebersamaan dalam membuat keputusan itu. Ini dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Aisyah. Nabi Muhammad pernah memohon izin daripada Aisyah agar beliau dapat beribadah kepada Allah.

Tip (45) Memuji fizikal pasangan ketika mudanya

Ketika usia muda, pasangan dipuji dari aspek fizikal. Ini dilakukan oleh Nabi Muhammad kepada Aisyah. Panggilan yang diberikan kepada Aisyah adalah Humaira, bermaksud pipi yang kemerah-merahan dan Suqra, bermaksud berambut perang.

Tip (44) Menyatakan komitmen cinta kepada pasangan

Nabi Muhammad pernah berkata kepada Aisyah bagaimana dia menyintai isterinya itu. Kata-kata yang disebut adalah cintanya kepada Aisyah seperti satu ikatan yang kuat. Apabila Aisyah bertanyakan bagaimana ia dikatakan sebagai satu ikatan yang kuat. Nabi Muhammad menjawab ia seperti satu ikatan yang kekal dan tidak berubah simpulan.

Tip (43) Mengisi kekosongan yang ditinggalkan pasangan

Direkodkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Nabi Muhammad berkata Islam menolak kerahiban dalam hidup. Kasih sayang kepada pasangan itu kekal ketika hidup dan perginya pasangan. Tetapi itu tidak menyekat membina kasih sayang kepada manusia lain. Meskipun Nabi Muhammad dan Khadijah ditakdirkan Allah berpisah atas faktor hayat, Nabi Muhammad mendirikan rumahtangga selepas itu.

Tip (42) Mencukupi kekurangan menambah kelebihan

Peranan Khadijah sebagai seorang peniaga yang disalurkan kepada usaha Nabi Muhammad. Ketika mana Nabi Muhammad bersungguh-sungguh turun kepada orang ramai mengajak kepada seruan Allah, satu persatu orang menyisihkan baik dari aspek sosial dan kerjasama ekonomi. Termasuklah pemulauan keluarganya. Khadijah menggunakan setiap kelebihan hartanya bagi mencukupkan kekurangan dan menambah kelebihan bagi membantu usaha Nabi Muhammad.

Tip (41) Menguatkan kedudukan pasangan

Khadijah terus kekal sebagai isteri Nabi Muhammad yang berperanan menguatkan kedudukan pasangan dengan mengesahkan kebenaran yang dibawa oleh suaminya. Meskipun ketika itu berpecahnya kaum Quraisy apabila kebenaran itu disampaikan oleh Nabi Muhammad, Khadijah nekad dan kekal dengan membenarkan risalah kenabian itu.

Tip (40) Terus bersama dalam keadaan turun naik pasangan

Khadijah menjadi orang yang terus setia kepada Nabi Muhammad ketika beliau dilantik menjadi nabi oleh Allah melalui pengantaraan Jibril. Situasi dari seorang manusia biasa menjadi manusia lantikan Allah menjadikan kehidupan Nabi Muhammad berubah. Dalam keadaan beliau disisihkan oleh mereka yang pernah mesra denganya, Khadijah terus bersama beriman kepada seruan Nabi.

Tip (39) Menjadi orang pertama percaya kepada pasangan

Khadijah menjadi kekuatan kepada Nabi Muhammad apabila menjadi orang pertama yang mempercayai perkara yang dilalui suaminya. Kepercayaan isteri kepada apa yang dilakukan oleh suami adalah ketenangan kepada hati.